ALOR GAJAH – Pengasuh Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, 8 bulan, yang maut di taman asuhan kanak-kanak (taska) pada 6 September lalu kelihatan lebih tenang pada prosiding sebutan semula di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, dihadapkan di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee bagi penetapan tarikh sebutan semula untuk serahan laporan bedah siasat dan kimia.
Beberapa individu dipercayai ahli keluarga wanita itu turut hadir bagi mengikuti prosiding pengurusan kes.
Sepanjang prosiding, Nor Afifah hanya menunduk sehingga dibawa keluar oleh anggota polis setelah tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Januari 2025.
Kosmo! pada 13 September lalu melaporkan Nor Afifah menangis teresak-esak selepas didakwa membunuh Muhamad Al Fateh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama antara pukul 7.30 dan 8.30 pagi 6, September lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta maksimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga beberapa kali berada dalam keadaan longlai sehingga terpaksa dibantu ahli keluarga untuk berdiri bagi membolehkan dia diiring keluar oleh anggota polis. – KOSMO! ONLINE