fbpx

Harimau Malaya perlu elak kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara perlu turun dengan waspada bagi mengelak sebarang kejutan biarpun memiliki kelebihan ranking berbanding Laos. - FB FAM

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti menyeru agar anak-anak buahnya tidak pandang mudah dengan cabaran yang boleh diberikan oleh Laos pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium PAT, Bangkok malam ini.

Meskipun jurang ranking antara Malaysia dan Laos agak ketara, Pau Marti percaya skuad Million Elephants mampu memberi kejutan sekiranya pasukan tidak berwaspada sepanjang 90 minit perlawanan nanti.

Kata Pau Marti, ramuan terbaik sudah disiapkan oleh barisan kejurulatihan kerana Laos mempunyai corak permainan berbeza yang boleh dimanfaatkan barisan pemain sebelum mengharungi kejohanan lebih besar nanti.

“Saya rasa pemain perlu mempamerkan peningkatan, tetapi dalam masa sama kita perlu mencuba beberapa pendekatan baharu. Ini kerana perancangan taktikal bergantung kepada pasukan lawan, keadaan padang dan momentum.

“Namun, kita akan cuba untuk tidak membuat banyak perubahan dalam pendekatan kita untuk mengharungi perlawanan. Mungkin perubahannya lebih kepada ‘gameplan’.

“Tidak mudah untuk melakukan perubahan dalam tempoh sebulan ataupun dua bulan, tetapi saya percaya aksi menentang Laos cukup penting sebelum mengharungi Piala ASEAN 2024 nanti,” katanya.

Selain Piala ASEAN 2024 yang akan berlangsung pada bulan depan, skuad negara kini dalam fasa persiapan untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac nanti.

Kali terakhir skuad negara menentang Laos adalah pada saingan Piala ASEAN 2022 dengan melakar kemenangan 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pasukan Laos yang menduduki ranking ke-187 dunia kini dikendalikan oleh pengendali import dari Korea Selatan, Ha Hyeok-jun sejak Ogos lepas.

Selepas ini, skuad negara akan terbang ke India untuk aksi persahabatan menetang tuan rumah pada Isnin depan manakala Laos akan bertemu Thailand pada Ahad ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI