PETALING JAYA – Mahu dihumban ke dalam parit, itu antara komen diterima pelakon Hisyam Hamid dalam media sosial yang dibenci ramai gara-gara watak antagonis dalam drama Andai Tiada Dia.
Hisyam atau nama sebenarnya Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 39, berkata, hampir setiap hari dia menerima maki-hamun daripada netizen namun bersyukur tiada yang menyerangnya menggunakan isu peribadi.
“Kalau kena maki berbakul-bakul itu memang ada. Maksudnya watak Haikal itu berjaya buat orang benci. Setakat ini tiada lagi serangan peribadi (personal attack).
“Ada yang nak lempang, cekik, humban dalam parit, baling dalam laut supaya lemas.
“Paling lucu, apabila ada yang beri amaran supaya jangan mengada-ngada nak kahwin dengan Intan lakonan Mimi Lana tetapi perlu nikah dengan dia,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam pada itu, dia bagaimanapun tidak mengambil hati namun bersyukur kerana lakonannya berjaya meninggalkan impak kepada penonton.
“Apa pun, mereka hanya maki Haikal bukan saya. Kadang-kadang saya sengaja muat naik hantaran berkaitan drama sebab mahu beri ruang mereka lepaskan kemarahan atau kebencian terhadap Haikal.
“Alhamdulillah drama ini berjaya menarik ramai penonton. Ramai kawan-kawan dari Singapura turut ‘layan’ cerita ini.
“Memang agak terkejut sebab drama ini dapat sambutan. Syukur gandingan saya bersama Mimi dan Ummi Nazeera menjadi dan diterima baik,” jelasnya.
Terdahulu, Mimi dibenci kerana menjadi perosak rumah tangga dalam drama tersebut berharap tidak didoakan keburukan atau malapetaka ke atas dirinya.
Selain Hisyam, Ummi dan Mimi, drama arahan Riza Baharudin yang bersiaran menerusi saluran Astro Ria itu turut dibintangi Zahiril Adzim, Husna Mustaffa, Lan Siro, Kodi Rasheed dan Mia Nasir. – KOSMO! ONLINE