SEBERANG PERAI – Seorang wanita maut dalam keadaan mengerikan selepas kereta yang dipandu dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Bukit Tengah, di sini pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.16 pagi itu, Lee Zi Rou, 21, yang memandu kereta jenis Perodua Bezza disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan.
Kemalangan turut menyebabkan pemandu kereta jenis Honda Jazz, Tan Chou Theng, 25, cedera dan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 9.31 pagi. Kemalangan membabitkan Perodua Bezza, Honda Jazz, Toyota Atlas, sebuah treler dan lori tiga tan.
“Terdapat dua mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing akibat dihempap kontena. Pemandu Honda Jazz yang tersepit di tempat pemandu dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi.
“Pemandu Perodua Bezza disahkan maut di lokasi oleh petugas perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan treler dari arah bertentangan membelok menyebabkan muatan kontena menghempap deretan kenderaan yang berhenti di lampu isyarat. – KOSMO! ONLINE