KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelihatan sugul ketika tiba menziarahi jenazah bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin tengah hari tadi.
Beliau yang tiba sekitar pukul 12.50 tengah hari di kediaman rakan karibnya itu di Bukit Tungku dekat sini kelihatan hanya berdiam dan menunduk sedih.
Pada pagi tadi, Tun Mahathir menjelaskan melalui laman X bahawa beliau begitu sedih dengan kehilangan Tun Daim Zainuddin yang banyak berjasa kepada negara pada awal pagi tadi di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
Terdahulu, ,Tun Daim Zainuddin dilaporkan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun ketika menerima rawatan di sebuah hospital dekat Petaling Jaya.
Daim pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali iaitu dari 1984 hingga 1991, dan pada 1999 hingga 2001.
Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur. -KOSMO! ONLINE.