KUALA KANGSAR – Catatan paras air di Sungai Perak dekat Dataran Lembah di sini menghampiri paras berjaga-jaga berikutan pelepasan air di empat empangan ekoran taburan hujan yang tinggi sejak minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, bacaan terkini paras air di Sungai Perak merekodkan data 32 meter di mana menghampiri paras berjaga-jaga iaitu 33.1 meter.
Bagaimanapun katanya, semua agensi berkaitan telah diarahkan membuat penyelarasan kemasukan dan pengeluaran air pada setiap empangan agar peningkatan air tidak terlalu drastik dan air yang dilepaskan tidak menyebabkan banjir.
“Taburan hujan yang tinggi di seluruh negara dan sekitar empangan di bawah Empangan Temengor iaitu di Bersia, Kenering dan Chenderoh sejak 2 Januari lalu telah menyebabkan paras air meningkat dengan mendadak di semua empangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sepanjang Sungai Perak.
“Kadar kenaikan paras air pada masa tersebut adalah membimbangkan dan boleh mendatangkan bahaya jika tidak diuruskan dengan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau keadaan Sungai Perak di jeti Dataran lembah di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak dan Ketua Retail TNB Perak, Ir Mohd. Azhar Abd Rashid.
Menurut Mohd. Zolkafly, TNB telah melaksanakan perlepasan terkawal di Empangan Bersia dan Kenering sejak Khamis lalu bagi memastikan paras air di setiap empangan berada pada paras selamat dan terkawal. -K! ONLINE