KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah ‘tiada babi, tiada alkohol’ atau ‘no pork, no alcohol’ tidak semestinya mencerminkan makanan dijual di sesebuah premis perniagaan adalah halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, istilah halal merujuk kepada setiap produk atau premis makanan atau barang gunaan menepati aspek Syariah, kesihatan, kebersihan, keselamatan dan kualiti.
“Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sentiasa mempertingkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan serta kebaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam industri makanan dan perniagaan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai cadangan Jakim mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol.
Mohd. Na’im berkata, buat masa ini kerajaan masih mengekalkan dasar sedia ada iaitu permohonan SPHM bersifat sukarela sejak mula dilaksanakan pada tahun 1974 dan perkara itu telah diperkukuhkan melalui Akta Perihal Perdagangan 2011.
Jelas beliau, dasar sedia ada itu bermaksud bahawa dasar berkenaan adalah terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.
Kata beliau, pemilikan SPHM memberikan nilai tambah kepada bukan sahaja kepada industri, tetapi juga kepada pengguna kerana sijil halal merupakan jaminan bahawa produk atau premis makanan tersebut adalah halal. – KOSMO! ONLINE