KUALA LUMPUR – Seksyen 233 dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) masih dikuat kuasa bagi menangani sebarang aktiviti kemudaratan dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan moratorium untuk Seksyen 233 walaupun Akta 588 sedang di peringkat cadangan pindaan.
“Peruntukan ini akan dikuatkuasakan sekiranya terdapat kandungan dalam talian yang dikenal pasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Kita nampak memang ada kes-kes wajar di bawa ke mahkamah. Kalau kita hendak henti guna pakai Seksyen 233 sampai dapat kelulusan atau pindaan tak berapa praktikal,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) sama ada kerajaan mahu berhasrat melaksanakan moratorium sebelum Akta 588 dibentangkan di Parlimen.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, Draf pindaan Akta 588 telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan akan diedar kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk ulasan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata, cadangan pindaan Akta 588 termasuk pindaan kepada Seksyen 233 itu malah dihasratkan untuk dibentang di Parlimen dalam mesyuarat kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
Terdahulu, katanya, Kementerian Komunikasi menjalankan sesi libat urus cadangan pindaan Akta 588 bermula tahun lalu termasuk bersama Majlis Peguam dan ahli Parlimen pada 8 Ogos tahun ini.
Jelas beliau, ia antaranya untuk membincangkan cadangan penambahbaikan Seksyen 233 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Selain itu, katanya, Kementerian Komunikasi dan MCMC turut mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).
“Ini bagi memastikan tiada pertindihan antara Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dengan peruntukan di bawah Akta 588 termasuk dalam konteks pemakaian Seksyen 233. – KOSMO! ONLINE