KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah dan bertafakur di atas pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md. Nor berkata, beliau mengambil maklum perkara yang disentuh oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Majlis mesyuarat mengambil maklum dengan pengisytiharan itu, salam takziah bagi keluarga Allahyarham,” katanya sebelum semua ahli Dewan Rakyat bertafakur.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyampaikan ucapan takziah sebelum memulakan sesi soal jawab melibatkan kementeriannya pagi ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) turut menyatakan ucapan takziah sambil menyifatkan Allahyarham negarawan yang banyak berjasa kepada negara.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Allahyarham adalah arkitek ekonomi negara sehingga Malaysia terkenal sebagai ‘The Asian Tiger’.
“Menggunung jasa Allahyarham kepada agama bangsa dan negara, terutamanya ketika negara berdepan krisis kewangan pada 1998,” katanya. – KOSMO! ONLINE