KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan tidak wujud Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikategorikan sebagai MRSM elit.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, kesemua 57 buah MRSM melaksanakan kurikulum standard kebangsaan dengan menjalankan beberapa program nilai tambah.
“Terdapat lima program sistem pendidikan MRSM iaitu Bitara, Ulul Albab, Teknikal, Premier dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE)
“Kita tidak mewujudkan MRSM elit buat masa ini. Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan program yang mana cara kita kategorikan kaedah kemasukan pelajar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berhubung kewujudan MRSM elit di negara ini.
Rubiah berkata, kemasukan ke MRSM Bitara mengikut kemasukan skim pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), namun menetapkan kelayakan sekurang-kurangnya 4A.
Menurut beliau, Ulul Albab pula menekankan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan juga aliran agama termasuk tahfiz.
“Dalam sistem pendidikan Bitara ini, pelajar yang cemerlang dikategorikan dalam satu MRSM. Tidak bercampur dengan pelajar yang lain, maksudnya persaingan (berlaku) antara mereka tetapi kita tidak kategorikan MRSM elit.
“Begitu juga dengan Premier secara keseluruhan mengikut sistem KPM, manakala IGCSE adalah mengikut kurikulum kebangsaan dengan kerjasama Cambridge IGCSE,” ujarnya.
Kata beliau, tujuan utama penambahan dalam kategori untuk memastikan sistem pendidikan di MRSM dalam keadaan terbaik dan menjurus kepada bidang-bidang tertentu.
Menjawab soalan tambahan Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), beliau berkata, tindakan senarai hitam ke atas peminjam Mara yang gagal membuat bayaran balik cuma bersifat sementara.
Menurut beliau, tindakan itu semata-mata untuk memberi penekanan kepada peminjam supaya membuat bayaran atau hadir berjumpa dengan pihak Mara untuk merundingkan penjadualan semula.
“Tujuan kita nak peminjam datang jumpa Mara dan selesaikan isu tu supaya tidak berlanjutan. Kalau tak mampu bayar, berapa boleh bayar buat ‘adjustment’ balik. Pokoknya dia bayar.
“Kebanyakan kes selepas berjumpa Mara boleh buat bayaran dan automatik senarai hitam tiada lagi,” katanya.
Justeru, beliau menyeru ibu bapa yang disenarai hitam oleh Mara supaya berjumpa dengan pihak Mara untuk memastikan anak mereka yang cemerlang dalam akademik dapat memasuki MRSM.
Terdahulu, beliau memaklumkan, antara syarat kemasukan ke MRSM adalah Ibu bapa atau penjaga pelajar tidak disenarai hitam oleh MARA.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mara sedang memberi fokus terhadap usaha menambah baik bangunan dan fasiliti MRSM yang telah berusia lebih 40 tahun. – KOSMO! ONLINE