KUALA LUMPUR – Demi kepuasan, penyanyi Jaclyn Victor sanggup ‘terbang’ ke New York, Amerika Syarikat (A) sebanyak tiga kali bagi menyempurnakan pembikinan album baharu yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Jaclyn atau nama lengkapnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 45, mengakui bukan mudah merealisasikan sebuah naskhah di luar negara kerana bukan hanya membabitkan kos dan tenaga, bahkan menuntut tempoh panjang.
“Kali pertama menjalani rakaman untuk single pertama berjudul Kembalilah di New York dibawah kendalian komposer serta penulis lirik kreatif iaitu Gerald Sellan dan Adrian Puan.
adalah pada pertengahan 2023.
“Beberapa bulan selepas itu saya berkunjung semula ke sana bagi merakamkan empat lagi lagu yang mengambil masa sekitar dua minggu untuk diselesaikan.
“Sekitar awal tahun ini kami ke studio sama di AS itu menyempurnakan lima lagu terakhir. Memang mengambil masa, tapi saya enggan terkejar-kejar kerana mahu menghasilkan nashkah terbaik,” katanya pada sidang media Konsert Kita Bagi sempena ulang tahun CIMB ke-100, semalam.
Menurut penyanyi bervokal lantang, bekerja Gerald dan Adrianyang juga anak tempatan menyuntik pengalaman baharu.
“Ikutkan cabaran memang banyak apatah lagi memikirkan status saya sebagai ibu kepada dua anak kerana setiap kali pergi ke sana saya peruntukan sekitar 14 hari atau lebih.
“Belum kira bajet yang perlu ditolak ke tepi tetapi kalau bukan sekarang bila lagi, ini juga hadiah untuk ulang tahun ke-20 saya dalam industri muzik. Jadi saya pejam mata sahaja.
“Walaupun pada awalnya hanya satu single, akhirnya album penuh yang memuatkan 10 lagu dapat disiapkan di New York. Sepatutnya dapat dilancarkan sebelum konsert, kami pilih tarikh terdekat ini,” ujarnya.
Mengenai konsert Kita Bagi Jadi CIMB ke-100 pada 24 November ini, Jaclyn teruja sepentas dengan ramai rakan seperjuangan dengan diiringi Orkestra Filharmonik Muda Malaysia (MPYO) di bawah pimpinan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose.
“Saya berbesar hati dapat beraksi dengan Datuk Zainal Abidin, Aina Abdul, Azlan & The Typewriter, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang bakal menjadi memori istimewa.
“Diiringi pemuzik orkestra muda yang gah tentu sahaja menyuntik bunyian mewah apatah lagi dalam meraikan ulang tahun ke-100 sebuah institusi perbankan besar ini,” katanya.
Uniknya, Konsert Kita Bagi Jadi CIMB ke-100 yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini dibuka secara ekslusif kepada jemputan khas bank terbabit. – KOSMO! ONLINE