PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2024 hari ini dalam usaha menangani isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak dalam kenyataannya berkata, program itu bertujuan untuk menangani dan mencegah kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak termasuk yang boleh menyebabkan kematian.
“Antara pengisian utama program ini ialah ceramah dan pameran pelbagai agensi berkaitan.Ini termasuk berkongsi kaedah serta tindakan yang boleh diambil ekiranya terdedah dengan penderaan,” katanya.
Program itu dilancarkan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, Dr. Sopian Brahimi.
Menurut kenyataan itu, pihaknya menyasarkan program tersebut dilaksanakan di 300 buah sekolah di seluruh negara sepanjang tahun ini. Setakat 5 November lalu, JKM telah mencapai sasaran sebanyak 327 buah sekolah dan memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 kanak-kanak.
“Berdasarkan statistik JKM, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan meningkat secara drastik pada 2023 sebanyak 8,041 orang berbanding 6,770 orang pada 2022 dan 6,144 orang pada 2021.
“Di Labuan, sehingga Ogos lalu sebanyak 47 kes dicatatkan bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan,” katanya.
KPWKM menyeru orang ramai untuk memanfaatkan sistem Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999 sekiranya terdapat sebarang kes penderaan atau pengabaian yang melibatkan anggota masyarakat dalam komuniti setempat khususnya kanak-kanak.
Selain itu, aduan juga boleh disalurkan melalui aplikasi mobil Talian Kasih yang beroperasi 24 jam sehari. – KOSMO! ONLINE