PASIR GUDANG – Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diacukan sebilah pisau oleh penyamun lelaki yang memasuki rumahnya di Taman Kota Masai, di sini tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian pukul 12.57 tengah malam itu, mangsa berusia 79 tahun itu berada seorang diri di rumah.
“Ketika kejadian, seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam rumah dan meletakkan sebilah pisau di leher mangsa serta meminta mangsa menyerahkan barangan berharga. Kerugian dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM2,000,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya memberkas suspek pada pukul 4.30 pagi semalam dan turut merampas telefon bimbit, sebuah tablet milik mangsa, sebilah pisau serta satu bag galas.
Menurutnya, suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Hasil ujian urin yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 November ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat dibawah seksyen 392/397 kanun keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE