BEIJING – Jet pejuang halimunan generasi kelima Russia, Su-57E membuat penampilan sulung pada Pameran Penerbangan dan Aeroangkasa Antarabangsa China ke-15, yang bertujuan untuk menarik perhatian peserta dan pembeli antarabangsa, lapor majalah The National Interest.
Konglomerat industri ketenteraan milik Russia, Rostec menaruh harapan tinggi pada penampilan Sukhoi Su-57E tersebut, dalam acara yang bermula semalam di luar bandar Zhuhai, wilayah Guangdong.
Agensi berita Russia, Tass melaporkan bahawa Su-57E meluncur di langit pada hari pertama ekspo tersebut dan menarik minat ketara daripada peserta pertunjukan udara.
Tass ketika memetik Ketua Pegawai Eksekutif Rostec, Sergey Chemezov sebagai berkata: “Su-57 adalah satu-satunya pesawat generasi kelima di seluruh dunia yang telah menunjukkan ciri prestasinya yang luar biasa dalam semua senario pertempuran.
“Jet pejuang itu juga mempunyai daya tahan yang mengagumkan kerana signatur radarnya yang rendah dan sistem pertahanan atas pesawat yang canggih,” tambahnya.
Selain Su-57E, sebuah lagi jet pejuang halimunan milik China, J-35 menjadi tumpuan pada acara itu. Ia dilaporkan dibina menggunakan teknologi ketenteraan yang ditiru dari Amerika Syarikat, lapor laman berita EurAsian Times – AGENSI