KOTA BHARU – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang enam hari lalu selepas keluar dari rumahnya untuk ke kedai runcit di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Che Nor Qurratu Aini Mohd. Zaidi,14, kira-kira pukul 1.15 tengah hari pada kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan maklumat ahli keluarga, remaja itu keluar dari rumah untuk pergi ke kedai runcit kira-kira pukul 5 petang pada 7 November lalu.
“Che Nor Qurratu Aini memakai baju blaus berwarna hitam semasa keluar dari rumahnya.
“Remaja itu berketinggian lebih kurang 150 sentimeter dengan berat badan dianggarkan 60 kilogram dan berkulit sawo matang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, usaha mengesan orang hilang berkenaan masih dijalankan.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau terus menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd. Azmey Mohd. Yunus di talian 017-343 0221 atau 09-775 2200. – KOSMO! ONLINE