PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan tokoh ulama yang juga mantan Mufti Mesir, Syeikh Prof Ali Jum’ah.
Menurut Anwar, dalam pertemuan tersebut beliau turut mengundang tokoh ulama itu yang juga Ketua Lajnah Agama dan Wakaf di Parlimen Mesir datang ke Malaysia.
“Saya turut mengundang beliau menziarahi Malaysia bagi meneruskan kesinambungan pengajaran Turath Islami yang sedang giat digerakkan oleh kerajaan, termasuklah melalui penganjuran Majlis Sama’ Hadis Shahih Bukhari yang sedang berlangsung kini di Putrajaya.
“Selain itu, maudu’ perbincangan juga berkisar ikhtiar kerajaan MADANI untuk terus meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul melalui pengajian tradisi Turath dan penterjemahan karya-karya ilmiah di khalayak masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam Anwar tiba di Riyadh untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam.
Selepas itu, beliau kembali ke Kaherah bagi meneruskan lawatan rasmi empat hari ke Mesir bermula Sabtu lepas.- KOSMO! ONLINE