PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius kes buli yang berlaku di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk kes di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
KPT menerusi kenyataan berkata, terbaharu dilaporkan seorang penuntut tahun satu ALK, UPNM disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
“Kejadian ini dikatakan hanya berlaku sehari sebelum kejadian membabitkan seorang pelajar yang ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
“KPT menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut.
“Dalam masa sama, rawatan dan kebajikan pelajar yang cedera itu juga akan terus diberikan sebaiknya,” katanya.
KPT berkata, UPNM merupakan salah satu daripada 20 universiti awam di bawahnya namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef).
“Bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus terjamin dan insiden tidak berulang, KPT akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama (Mindef) termasuk mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani salah laku buli dengan lebih cekap.
“Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan jika terdapat sebarang pelanggaran serius yang melibatkan undang-undang negara.
“Pada masa sama, KPT turut berharap agar warga IPT sendiri menjadi ‘mata dan telinga’ dengan berani untuk tampil melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah laku sebegini,” katanya.
Jelasnya, kejadian salah laku buli ini sedikit sebanyak memberi imej tidak baik kepada IPT yang menjadi institusi untuk pembentukan ‘otak dan watak’ iaitu mempunyai tahap pemikiran dan keperibadian yang seimbang dan baik.
“KPT ingin memberi amaran tegas kepada semua warga IPT untuk tidak melindungi atau terlibat dengan isu buli sebegini.
“Kementerian tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah,” katanya.- KOSMO! ONLINE