KUALA LUMPUR – Muslim Insiders Chamber of Commerce (Muslim Insiders) komited untuk memperkasakan syarikat-syarikat pertengahan bagi membantu mereka menjadi sebuah syarikat yang mengamalkan amalan operasi patuh syariah sebelum menjadi perusahaan konglomerat.
Menurut Presiden Muslim Insiders, Profesor Adjung Adam Shah Abdul Richman, amalan operasi patuh syariah yang difokuskan pihaknya bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan agama, tetapi juga lebih lestari dan berdaya tahan.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV itu berkata, pihaknya ingin menggalakkan semua perniagaan termasuk pemain industri bukan Islam untuk mengamalkan aktiviti patuh syariah ini bagi mengembangkan lagi operasi mereka dengan lebih kompetitif serta berdaya tahan untuk masa akan datang.
“Selain itu, kami juga memfokuskan kepada pendapatan yang dijana yang mana kami akan memberi panduan kepada syarikat-syarikat ini untuk mengeluarkan idea pelaburan berasaskan islamik untuk diketengahkan kepada negara-negara Islam.
“Melalui usaha ini, secara tidak langsung, kita dapat membantu meningkatkan ekonomi negara melalui pelaburan daripada pasaran modal Islam.
“Pasaran tersebut menawarkan jaminan yang besar dan sangat berpotensi untuk berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena acara Simposium CEO (ketua pegawai eksekutif) Nasional 2025 di sini baru-baru ini.
Terdahulu Muslim Insiders dan KNKV dengan kerjasama bank-bank utama serta organisasi terkemuka seperti CTOS dan OCBC Bank telah menganjurkan Simposium CEO Nasional 2025 bersempena perlantikan Datuk Seri Dr. Zurainah Musa sebagai Pengerusi baharu KNKV.
Acara itu memfokuskan kepada sokongan kewangan, intelektual serta kesedaran berkaitan keselamatan perniagaan dan prospek pasaran.
Inisiatif ini juga bertujuan untuk memberi panduan yang lebih mantap kepada pengurusan tertinggi syarikat ketika membuat keputusan yang bijak dan strategik untuk menghadapi cabaran ekonomi 2025 yang dijangka lebih mencabar.
Tambah Adam Shah, pihaknya ingin membantu pengurusan kanan dan tertinggi ini membuat persiapan diri dengan pelbagai ilmu perniagaan yang mantap untuk menghadapi cabaran ekonomi akan datang.
“Simposium ini dijangka menjadi platform utama bagi memperkukuhkan daya saing syarikat dan membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE