JAKARTA – Seorang penghantar makanan memuat naik video keadaan dapur sebuah restoran ayam goreng di Gambir, Jakarta Tengah yang menunjukkan beberapa pekerja menyediakan makanan tanpa memakai baju.
Laman berita Tribunnews melaporkan, video itu dirakam sendiri oleh rider tersebut yang ketika itu sedang menunggu pesanan pelanggan disiapkan.
Ia memaparkan keadaan dapur restoran yang dipenuhi dengan tepung berserakan, lantai berwarna hitam dan banyak sampah tidak dibuang.
Beberapa pekerja turut dilihat menyediakan makanan dalam keadaan tidak memakai baju, malah salah seorang daripada mereka membiarkan bajunya tergantung pada bahu.
“Yakin anda mahu beli makanan online?” kata hantaran video yang dimuat naik di platform TikTok itu.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Hanya rider yang tahu bagaimana keadaan sesebuah kedai. Kadang kala tidak sampai hati,” kata seorang netizen.
“Kalau tidak pakai sarung tangan masih boleh diterima, ini tidak pakai baju,” kata pengguna media sosial lain.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Ayam Jatinangor House kemudian tampil memohon maaf atas insiden itu dan memberitahu bahawa tindakan telah diambil terhadap pekerja-pekerja terbabit.
“Pekerja kami telah melanggar prosedur operasi standard. Kami mengucapkan terima kasih atas keprihatinan anda,” katanya. – AGENSI