fbpx

Anwar sampaikan kenyataan tegas Malaysia, tamatkan keganasan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk menamatkan keganasan Israel, sekali gus menyokong perjuangan isu Palestin ketika Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi semalam.

Pada sesi itu, Anwar turut menyatakan sokongan resolusi yang dipersetujui oleh Sidang Kemuncak tersebut dalam usaha menamatkan genosid berterusan rakyat Palestin oleh Israel.

Menurut Kementerian Luar, Perdana Menteri turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan inisiatif termasuk mengenakan sekatan senjata serta-merta terhadap Israel bagi menghentikan genosid rakyat Palestin.

“Tindakan tegas tersebut adalah penting bagi menghentikan tindakan ganas rejim Zionis Israel yang berleluasa sehingga mengancam kestabilan rantau berkenaan, berikutan serangan Israel ke atas Lubnan, Iraq, Iran, Yaman dan Syria.

“Anwar juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

“Malaysia menolak sekeras-kerasnya keputusan Israel untuk mengharamkan Agensi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Malaysia menegaskan komitmennya terhadap peranan penting UNRWA dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk membantu mengurangkan penderitaan yang dialami pelarian Palestin.

Kata Wisma Putra, Perdana Menteri mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), yang terang-terangan melanggar Piagam PBB dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ini termasuk menggesa penggantungan ataupun penyingkiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia menegaskan komitmennya dalam membantu pembinaan semula Gaza dan menekankan keperluan untuk tindakan antarabangsa yang segera dan diselaraskan untuk mencapai objektif ini.

“Ini bagi memudahkan kepulangan semula penduduk Palestin ke tanah air mereka,” katanya.

Di sela-sela Sidang Kemuncak ini, Perdana Menteri turut bertemu dengan pemimpin dari Kuwait, Lubnan, Maldives dan Arab Saudi untuk membincangkan situasi di Palestin, langkah-langkah untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

Ini termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI