fbpx

“Bagaimana kami boleh berkahwin sedangkan lelaki memandang rendah kami?” – 4B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan poster gerakan 4B yang berasal dari Korea Selatan. – AGENSI

SEOUL  – Tiada hubungan cinta, perkahwinan atau mempunyai anak dengan lelaki: Inilah moto   gerakan feminis ekstrem Korea Selatan, 4B  yang kini tular di Amerika Syarikat dan lebih jauh sejak Donald Trump memenangi pilihan raya Presiden.

Dalam bahasa Korea, 4B bermakna ‘Empat tidak’ termasuk mempunyai hubungan cinta, perkahwinan dan memiliki anak bersama lelaki.

Gerakan 4B muncul pada pertengahan tahun 2010-an di Korea Selatan berlatarbelakangkan perbezaan gaji ketara antara pekerja lelaki dan wanita, penerapan peranan jantina dalam masyarakat dan ‘wabak’ jenayah serta keganasan seksual terhadap wanita.

Namun ketika itu, 4B adalah dianggap sebagai gerakan terpinggir.

Aktivisnya, Baek Ga-eul, 33, berkata, 4B membolehkan wanita menjadi ‘manusia  sebenar’ dan bukannya  hak pemilikan untuk lelaki atau anak-anak.

“Gerakan ini muncul kerana wanita Korea Selatan yang melakukan 3.5 kali ganda lebih banyak kerja rumah berbanding lelaki, tidak boleh menerima penetapan lelaki untuk melakukan kedua-dua tugas utama iaitu bekerja dan melakukan sebahagian besar kerja rumah.

“Wanita juga muak dengan budaya lelaki yang berpura-pura melayan baik wanita, sedangkan  di belakang tabir, berkongsi klip video seks teman wanita mereka dengan rakan-rakan lelaki lain,” katanya.

Ketika jelas Trump menang pilihan raya pada 5 November lalu, 4B muncul salah satu topik pencarian paling popular dalam enjin carian Google di Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain, demikian menurut Google analytic.

Klip video mengenai gerakan itu turut dikongsi meluas di platform TikTok dan Facebook.

Rakaman video mengenainya menunjukkan wanita-wanita mencukur kepala mereka kerana membantah kemenangan Trump yang secara tidak langsung mempopularkan gerakan 4B.

Pilihan raya itu dilihat  ramai wanita sebagai pungutan suara kepada hak wanita terutamanya berhubung pelantikan tiga hakim Mahkamah Agung  berfahaman konservatif oleh Trump.

Pelantikan mereka didakwa menjadi punca hak menggugurkan anak di negara itu dimansuhkan.

Ia menjadikan wanita Amerika sedar bahawa lelaki tidak menganggap wanita sebagai saksama,” kata Ga-eul kepada AFP.

“Bagaimana wanita boleh bercinta, berkahwin atau mempunyai anak dengan lelaki sedangkan mereka benci dan memandang rendah kami?.

“Gerakan 4B akan berkembang di luar Korea Selatan dan ke seluruh dunia,” katanya. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI