PETALING JAYA – Pelawak dan usahawan Shuib terkilan apabila seorang individu mendakwa kos perbelanjaan ibadah umrahnya baru-baru ini menggunakan duit caruman pekerja yang sepatutnya dibayar kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Shuib atau Shahmira Muhammad, 40, berkata, tuduhan itu tidak berasas selain disifatkan sebagai fitnah luar biasa terhadap dirinyanya.
“Masya-Allah saudara, jauh sangat ini (tuduhan) duit untuk umrah menggunakan wang caruman Perkeso.
“Semoga Allah SWT ampunkan dosa awak ya, fitnah luar biasa ini,” katanya.
Shuib berkata demikian bagi membalas dakwaan seorang netizen dalam ruangan komen sebuah hantaran Instagramnya.
Bagaimanapun, menerusi pemerhatian HibGlam, komen tersebut sudah dipadam individu berkenaan.
Difahamkan, komen sebegitu tercetus susulan Shuib dikenakan tindakan denda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam berikutan tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Tidak cukup difitnah, ada juga individu menyarankan agar Shuib mengetengahkan isu berkaitan majikan yang tidak membayar Perkeso bagi pihak pekerja dalam podcastnya, Dol Podcast.
Menyedari komen tersebut, Shuib turut membalas dan memberitahu idea yang dicadangkan itu boleh dipertimbangkan.
“Salam, idea yang menarik. Boleh dipertimbangkan, insya-Allah,” balasnya.
Semalam, syarikat pengeluaran air minuman, Bubblebee Sdn. Bhd. (Bubblebee) didenda keseluruhan RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Majistret Ameera Mastura Khamis menjatuhi hukuman itu selepas syarikat tersebut sebagai Orang kena Saman (OKS) yang diwakili dua pengarahnya iaitu Shahmira Muhamad, 40, atau lebih dikenali Shuib dan Koh Choon Guan, 33 mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, syarikat berkenaan juga dibenarkan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.
Menyedari khilafnya, Shuib menyifatkan tindakan undang-undang terhadap pihaknya sebagai pengajaran agar tidak terlepas pandang perkara penting membabitkan kebajikan pekerja. – KOSMO! ONLINE