PENGADIL tempatan disaran perlu lebih berani ketika membuat keputusan terutama pada perlawanan ‘panas’ saingan Liga Malaysia agar tidak lagi terpalit dengan kontroversi pada masa akan datang.
Pandangan tersebut disuarakan oleh bekas pengadil berpengalaman negara yang menyifatkan pengadil-pengadil negara ketika ini agak takut dalam membuat keputusan terutama melibatkan pasukan besar.
“Adakah mereka ‘takut’, saya terfikir, Yes (Ya). Mereka takut untuk membuat keputusan penting melibatkan pasukan besar.
“Kalau kita melihat senario dari beberapa perlawanan (lepas) kelihatan pengadil ketika ini sangat sukar apabila berhadapan dengan crucial decision (keputusan penting) terutama melibatkan pasukan yang besar
“Apatah lagi melibatkan pemain asing ‘foreigner’ (import),” kata pengadil yang enggan namanya didedahkan kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, pengadil ini juga berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai ketelusan untuk menjelaskan kepada umum setiap keputusan-keputusan penting terutama yang mencetus isu besar.
“Mungkin perlu ada sidang media dan soal jawab bersama dengan FAM. Secara tidak langsung ia akan memberikan impak kepada pengadil dan mereka boleh memperbaiki setiap kelemahan yang mereka hadapi,” katanya lagi.
Sebagai rekod, pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali telah membuat beberapa keputusan kontroversi pada aksi Liga Super melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lepas.
Pemain sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi dikatakan bernasib baik apabila terlepas layangan kad merah selepas didakwa menumbuk pemain The Bos Gaurus, Tommy Mawat Bada pada insiden minit ke-83.
Selain itu, Razlan turut membuat keputusan kontroversi apabila tidak menghadiahkan Perak sepakan penalti pada minit ke-37 selepas Clayton Silveira dikasari pertahanan JDT, Feroz Baharudin meskipun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) telah dibuat.