KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente meletakkan harapan tinggi agar Harimau Malaya dapat ‘mengaum’ lebih garang ketika mengharungi dua perlawanan di luar negara pada bulan ini.
Sebagai rekod, Malaysia dijadualkan bertemu Laos pada aksi persahabatan di gelanggang berkecuali di Bangkok, Thailand malam esok sebelum berlepas ke India untuk menentang tuan rumah di Hyderabad Isnin depan.
Pau Marti mengakui aksi di tempat lawan bukanlah aksi yang mudah kerana banyak perkara berada di luar kawalan tetapi itu bukan alasan dalam usaha meraih keputusan lebih positif nanti.
“Ketika bermain di luar negara, kita tidak boleh mengawal suasana. Jadi kita tidak boleh menjangkakan sesuatu perkara terutama aspek padang, cuaca, fasiliti, hotel dan makanan kerana semua mampu memberi kesan kepada permainan pasukan nanti.
“Saya harap pemain dapat berada pada tahap yang terbaik. Ini cabaran yang perlu kita hadapi setiap kali beraksi di tempat lawan,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara melakar kemenangan adalah ketika menentang Taiwan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026, November tahun lalu.
Selepas itu, Harimau Malaya gagal melakar kemenangan di luar negara sepanjang tahun ini termasuk tiga perlawanan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar.
Tiga lagi aksi antarabangsa di Oman, Kyrgyzstan dan New Zealand juga tidak berakhir dengan positif.
Pasukan kebangsaan kini dalam fasa persiapan terakhir sebelum mengharungi kempen Piala ASEAN 2024 yang akan bermula Disember depan dan kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac nanti.