fbpx

Bunuh ibu: ‘Sangka mangsa sudah pindah, rupanya mayat disorok dalam peti sejuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sepasukan polis selesai memeriksa kediaman di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – “Kali terakhir saya nampak mangsa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selepas itu saya sangka dia sudah berpindah.”

Demikian kata jiran yang enggan dikenali berhubung kes pembunuhan kejam ke atas wanita warga emas sebelum mayatnya disorok dalam peti sejuk beku selama tiga tahun di Jalan Hujan Abu 6, di sini hari ini.

Polis menemukan mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an itu dipercayai dibunuh anak lelakinya berusia 50-an pada pukul 9 pagi tadi.

“Sepanjang lebih 10 tahun tinggal berjiran dengan lelaki itu (suspek), tiada perkara yang mencurigakan setiap kali terserempak pasti akan bertegur.

“Tetapi dia jarang keluar rumah, saya beranggapan keadaannya uzur kerana ada penyakit kronik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut jiran itu, ibu suspek kali terakhir dilihat sebelum pelaksanaan PKP. Dua beranak itu tinggal bersama dan suspek tidak berkahwin.

“Sejak (PKP) itu saya tidak pernah nampak ibunya, saya beranggapan dia sudah berpindah ke rumah lain dan anaknya tinggal berseorangan,” katanya.

Tambah lelaki itu, kediaman suspek pernah dipecah masuk sebelum ini namun tidak dilaporkan kepada polis ekoran tiada kerugian.

“Saya sangka hari ini ada kes sama (pecah rumah), rupanya jumpa mayat ibunya, memang kami sekeluarga terkejut,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran wanita yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka di kediaman tersebut mempunyai penghuni.

Katanya, ini kerana keadaan rumah tersebut yang tidak terurus selain tiada pergerakan keluar masuk penghuni.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI