ARAU – Golongan mahasiswa perlu merancang pengurusan kewangan dan kemandirian ekonomi dengan mengambil kira beberapa aspek penting dalam kehidupan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kejayaan mahasiswa bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik sahaja, tetapi juga merangkumi aspek pengurusan kewangan.
Titah baginda, berikutan itu, golongan mahasiswa perlu merancang bajet bulanan dengan mengambil kira pendapatan, perbelanjaan asas, simpanan dan keperluan kecemasan.
“Amalan bijak dalam pengurusan perbelanjaan harian membolehkan anda mengekalkan kestabilan kewangan,” titah baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-19 UniMAP, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, mahasiswa yang mempunyai pinjaman pendidikan juga seharusnya menyusun strategi pembayaran balik secara konsisten.
“Ini bukan sahaja akan meringankan beban kewangan jangka panjang tetapi juga membina rekod kredit yang baik untuk masa depan,” titah Raja Muda Perlis.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah supaya mahasiswa dapat melabur sebahagian daripada pendapatan mereka bagi tujuan simpanan jangka masa panjang. – KOSMO! ONLINE