KUALA LUMPUR – Malaysia sudah menghantar lebih 5,000 tan bantuan ke Gaza melalui sempadan Rafah, yang telah memberi manfaat kepada jutaan rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, sumbangan dan bantuan daripada Malaysia disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
“AAKRP telah membelanjakan dana berjumlah hampir RM45 Juta kepada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NGO tempatan, dan lain-lain agensi.
“Saluran sumbangan AAKRP diberikan kepada, antaranya, Pertubuhan Antarabangsa atau Serantau seperti United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA), Kedutaan Besar Malaysia dan Unit Hal Ehwal Palestin (UHEP) di Amman, Jordan serta NGO tempatan di bawah Ops Ihsan,” katanya di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian semasa Kerajaan Malaysia berserta bantuan kemanusiaan yang telah dihulurkan dan berapa kos yang diperuntukkan untuk tahun 2023/2024 bagi krisis kemanusiaan Gaza.
Sementara itu, Mohamad Alamin berkata, Malaysia juga telah menyumbang sebanyak USD 500,000 masing-masing kepada Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC), untuk merawat rakyat Palestin yang menghidap kanser.
“Situasi kini semakin mencabar setelah pintu sempadan Rafah ditutup sejak 7 Mei 2024. Satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi adalah melalui Jambatan Raja Hussein di Jordan.
“Malaysia kini mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Jordan dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Malaysia telah mendapat undangan dan telah bersetuju untuk turut serta dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui misi jambatan udara (air bridge) dengan kerjasama Kerajaan Jordan.- KOSMO! ONLINE