fbpx

6 harimau belang dilanggar dalam dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sebanyak enam ekor harimau belang menjadi mangsa kemalangan jalan raya (roadkill) di negara ini sejak dua tahun lalu menjadikan populasi Harimau Malaya ketika ini dianggarkan kurang daripada 150 ekor.

Dalam kejadian terbaharu, seekor Harimau Malaya betina mati dilanggar kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Hutan Simpan Amanjaya, Gerik, Perak pada 9 November lalu.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, kejadian itu makin membimbangkan kerana ia mencerminkan gangguan serius terhadap habitat semula jadi spesies terancam tersebut menyebabkan harimau keluar dari kawasan hutan ke jalan raya.

“Lebih menyedihkan apabila beberapa bahagian Harimau Malaya termasuk taring, kuku dan kulit telah hilang dan disyaki telah dicuri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan mencuri bahagian harimau belang merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Pindaan terhadap Akta 716 telah meningkatkan kadar hukuman dan penalti bagi kesalahan melibatkan hidupan liar terutama spesies yang dilindungi sepenuhnya.

“Mana-mana individu yang memiliki atau memperdagangkan bahagian Harimau Malaya seperti gigi, tulang, kulit, lemak atau darah akan dikenakan tindakan tegas. Ini bagi memastikan spesies terancam ini tidak terus dieksploitasi.

“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM150,000 bagi setiap bahagian dan penjara sehingga 15 tahun sebagai langkah pencegahan terhadap jenayah berkaitan hidupan liar yang dilindungi,” tegasnya.

Tambah Nik Nazmi, pihaknya akan terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara ini tidak pupus buat selama-lamanya kerana bilangan populasi kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor.

Antara inisiatif yang dilakukan termasuk penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya, pengukuhan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan oleh Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sejak awal penubuhannya pada 2020, bilangan Renjer Komuniti meningkat dengan 1,000 orang pada 2023, 2,000 orang pada 2024 dan ditingkatkan lagi kepada 2,500 Renjer Komuniti pada tahun hadapan dengan peruntukan RM80 juta,” jelasnya.

Usaha ini disokong oleh penyaluran insentif kewangan melalui Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan yang ditingkatkan kepada RM250 juta pada tahun hadapan.

Kerajaan negeri turut digalakkan untuk memperkuatkan pemuliharaan habitat Harimau Malaya melalui skim akreditasi Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS).

Selain itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara telah menubuhkan Unit Wildlife Cybercrime untuk memantau dan mengumpulkan maklumat mengenai aktiviti penjualan haram hidupan liar secara dalam talian.

Orang ramai turut digesa melaporkan maklumat berkaitan insiden roadkill atau aktiviti haram hidupan liar kepada Perhilitan atau PDRM bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI