PUTRAJAYA – Tiga lemas dan enam individu terperangkap apabila sebuah cruise tasik terbakar berdekatan Kelab Tasik Putrajaya di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, cruise berkenaan dalam perjalanan membawa 47 penumpang termasuk kru kapal.
Seorang mangsa yang lemas adalah orang awam yang cuba menyelamatkan mangsa di dalam kapal, manakala dua lagi mangsa lemas adalah penumpang kapal berkenaan.
Detik ‘cemas’ itu bagaimanapun bukanlah insiden sebenar, sebaliknya sesi latihan bersama membabitkan agensi penyelamat di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Putrajaya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Ashari Johari berkata, latihan bersama yang dilaksanakan bertujuan mempersiapkan semua agensi penyelamat di bawah JBPD Putrajaya jika berlaku kejadian tidak diingini pada masa hadapan.
Beliau berkata, sesi latihan itu dibuat bagi memastikan tahap kesiapsagaan semua agensi penyelamat daripada segi keanggotaan, pengurusan, jentera serta perancangan tindak balas pantas dapat dilaksanakan dengan cemelang. – KOSMO! ONLINE