PETALING JAYA – Kerajaan Perpaduan telah memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam memperkasa bakat tempatan melalui peningkatan peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada RM7.5 bilion dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan peruntukan itu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu meningkatkan kerjasama dengan industri, memperluas peluang latihan kepada belia rentan termasuk dari golongan miskin bandar dan luar bandar dan membawa khidmat TVET untuk manfaat masyarakat secara keseluruhan.
“Melalui TVET, kita ingin membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang relevan dengan kehendak industri.
“Ini selaras dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pendidikan dan latihan teknikal yang responsif, fleksibel dan inklusif bagi mencapai hasrat Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan modal insan yang berkemahiran,” katanya di Facebook hari ini.
Tambah Ahmad Zahid,beliau juga telah menyeru penglibatan pemimpin-pemimpin generasi baharu untuk sama-sama menjayakan agenda ini.
Peranan mereka katanya, adalah sangat penting dalam menyampaikan maklumat mengenai peluang dan akses TVET kepada masyarakat di akar umbi dan memastikan bahawa agenda ini sampai kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Semoga usaha ini menjadi jasa dan sumbangan yang bernilai demi kejayaan anak bangsa dan masa depan negara. Insya-Allah,” jelasnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid telah mendengar dan meneliti sesi pembentangan Pelan Strategik Penyelaras Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Parlimen yang bertujuan untuk memperkukuh dan memantapkan sektor TVET sebagai pilihan utama golongan muda negara.
Dalam usaha tersebut, jelas Ahmad Zahid, beliaua mahu memastikan bahawa TVET ini bukan sekadar laluan pendidikan alternatif, tetapi juga sebagai pemangkin kerjaya di masa hadapan yang relevan dan berdaya saing dalam sektor ekonomi serta industri negara. – KOSMO! ONLINE.