KUALA LUMPUR – Kes mengedar dadah jenis Kanabis bekas pembantu ahli politik iaitu Muhammed Yusoff Rawther dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret M.S Arunjothy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk kes itu dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.
Terdahulu semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pada masa sama peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh tidak membantah dengan permohonan itu.
Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusof, 31, didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pukul 10.15 pagi pada 6 September lalu.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan
hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi satu lagi kes, memiliki dua pistol tiruan di hadapan Majistret, S.Mageswary, Izzat memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes seterusnya.
Muhammad Rafique berkata, pihaknya tidak membantah permohonan yang dibuat pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, beliau memohon pembelaan dibekalkan dengan salinan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya, sebagaimana dijanjikan dalam prosiding terdahulu.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Mageswary menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi kes memiliki pistol tiruan tersebut. – KOSMO! ONLINE