SEPANG – Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima ganjaran berjumlah RM900 untuk melepaskan ubat-ubatan milik sembilan penumpang warga Bangladesh, November tahun lalu.
Tertuduh, Kufariz Iskandar Zulkifli, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima ganjaran sebanyak RM900 daripada sembilan penumpang warga Bangladesh untuk pelepasan ubat-ubatan milik penumpang tersebut sewaktu pemeriksaan bagasi.
Kesalahan itu dilakukan di Cawangan Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kira-kira pukul 1.30 petang pada 11 November tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nurul Akhilah mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan syarat tambahan untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan terhadap tertuduh, dan menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE