KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 kes penderaan bayi di pusat asuhan di seluruh negara telah dilaporkan sehingga September 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua kes tersebut sudah dikenakan tindakan Penguatkuasaan di bawah Garis Panduan
Khas Tindakan Penguatkuasaan Lak Dan Perintah Penutupan Ke Atas Taman Asuhan Kanak-Kanak Serta Pusat Jagaan Yang Dalam Siasatan Polis.
“Tindakan ini merangkumi, 14 tindakan Lak (sealed) ke atas Taska tidak berdaftar dan sembilan tindakan Perintah Penutupan Sementara ke
atas Taska berdaftar.
“Daripada jumlah tersebut, tiga adalah berkaitan kes kematian dan 20 kes adalah berkaitan aduan penderaan,” katanya ketika di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta KPWKM menyatakan statistik kes penderaan bayi di pusat asuhan di seluruh negara dan apakah langkah pengawalan agar kejadian penderaan tidak berulang.
Sementara itu, Nancy berkata, KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai usaha untuk mencegah serta mengurangkan risiko daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini di Taska seperti penderaan, pengabaian atau kecuaian.
“Kementerian mengeluarkan Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak Di Taman Asuhan Kanak-Kanak Berdaftar yang berkuatkuasa
mulai 1 Januari 2024.
“Selain itu, kementerian juga mengarahkan Pegawai Diberi Kuasa untuk menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke Taska bagi memastikan
semua standard minimum yang ditetapkan oleh Akta dan Peraturan dipatuhi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak, termasuklah ibu bapa dan orang awam, untuk melaporkan kewujudan Taska tidak berdaftar.
“Keperluan pendaftaran ini adalah demi memastikan Taska beroperasi mengikut standard dan amalan terbaik bagi mengurangkan risiko kepada insiden yang tidak diingini serta keselesaan dan keselamatan anak-anak kita.
“Taska yang berdaftar bukan sahaja boleh memastikan kualiti dan standard asas perkhidmatan yang disediakan oleh premis dan pengasuh tetapi juga dapat mengurangkan risiko berlakunya kecuaian dan penderaan terhadap kanak-kanak di Taska,” katanya. – KOSMO! ONLINE