LIPIS – Kegembiraan tiga bersaudara keluar memancing bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut akibat serangan jantung di kawasan hutan Jabi, Kampung Redan, Mela di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa, Rosdan Mat Isa, 53, bersama sepupu dan anak saudaranya pergi ke hutan tersebut untuk memancing dan berkhemah kira-kira pukul 4 petang.
“Bagaimanapun pada pukul 12 tengah malam mangsa mengalami kekejangan badan sehingga pukul 3 pagi. Cuaca hujan menyebabkan keadaan mangsa bertambah teruk sehingga tidak sedarkan diri.
“Mangsa masih tidak menunjukkan perkembangan positif manakala kawasan kejadian tidak mempunyai liputan rangkaian telefon untuk membuat panggilan telefon bagi mendapatkan bantuan dari luar,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, anak saudara mangsa yang turut serta dalam aktiviti tersebut kemudian mengambil keputusan keluar dari kawasan hutan bagi mendapatkan bantuan.
“Pada pukul 10 malam semalam pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa dari lokasi bagaimanapun lelaki itu dilaporkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Mayat Rosdan dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis dan hasil bedah siasat mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat saluran jantung tersumbat. – KOSMO! ONLINE