fbpx

Op Kasmar tingkat kerjasama APMM, JKDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APMM dan JKDM melaksanakan Op Kasmar di perairan Perak dan Selangor antara 5 hingga 9 November lalu. - Foto IHSAN APMM

LUMUT – Kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus diperkukuh menerusi Op Kasmar Siri 2/2024 yang dilaksanakan di perairan Perak dan Selangor bermula 5 hingga 9 November lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, ia melibatkan seramai 120 orang pegawai dan anggota daripada kedua-kedua agensi keselamatan berkenaan.

Menurut beliau, Op Kasmar Siri 2/2024 dijalankan bagi membanteras kegiatan yang melanggar Akta Kastam 1967 di perairan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

“Operasi ini memfokuskan kepada pemeriksaan di laut yang dibahagi kepada empat sektor iaitu Alpha, Bravo, Charlie dan Delta dengan penglibatan aset-aset laut APMM dan JKDM.

“Hasil operasi berkenaan, sebanyak 69 pemeriksaan telah dilakukan, bagaimanapun tiada sebarang kesalahan ditemui sepanjang tempoh operasi berkenaan dilaksanakan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad menyempurnakan Perasmian Op Kasmar Siri 2/2024 di jeti Pangkalan Marin Kastam Kampung Acheh di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawawi berkata, turut dilaksanakan bersempena Op Kasmar itu ialah sesi taklimat operasi kepada semua anggota yang terlibat.

“Diharapkan dengan pelaksanaan Op Kasmar ini, ia menjadi titik dalam meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua perkhidmatan selain meningkatkan persefahaman dan profesionalisme dalam menguatkuasakan undang-undang maritim di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI