PETALING JAYA – “Kami akur dengan denda yang diputuskan mahkamah.”
Demikian respons pelawak juga pengarah Bubblebee Sdn. Bhd. Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, berhubung denda sebanyak RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.
Bersama seorang lagi pengarah syarikat pengeluar air minuman itu, Koh Choon Guan, 33, yang mewakili syarikat tersebut selaku orang kena saman (OKS), mereka dikenakan hukuman selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis, hari ini.
Mengakui kekhilafan, usahawan terbabit menyifatkan tindakan undang-undang terhadap pihaknya sebagai pengajaran agar tidak terlepas pandang perkara penting membabitkan kebajikan pekerja.
Pada masa sama, Shuib berkata situasi yang dihadapi syarikat terbabit juga dianggap sebagai asam garam dalam perniagaan.
“Insya-Allah, apa yang berlaku membuatkan kami selaku pengurusan tertinggi lebih peka dan akan melaksana tanggungjawab dengan lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mahkamah juga membenarkan syarikat berkenaan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.
Bubblebee didakwa tiga pertuduhan sebagai majikan utama kepada seorang lelaki berusia 25 tahun telah didapati gagal membayar kepada Perkeso bagi caruman majikan dan pekerja bagi bulan November hingga Disember berjumlah keseluruhan RM97.80 seperti dikehendaki dibawah Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekarja 1971.
Syarikat itu juga didakwa tiga pertuduhan gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 untuk lelaki sama untuk tiga bulan yang sama bagi Sesyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana Puchong kira-kira pukul 8.30 pagi pada setiap tarikh 16 hari bulan untuk November tahun lepas hingga Januari lalu. – KOSMO! ONLINE