KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing ditemukan maut selepas terjatuh dari kediaman di sebuah kondominium mewah di ibu negara, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya terima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.57 pagi tadi.
Katanya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pudu bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi tersebut.
“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati seorang wanita dipercayai terjatuh dari tingkat yang tidak diketahui ditemukan di atas foyer kediaman itu.
“Mayat mangsa dikeluarkan pada pukul 7.48 pagi dengan bantuan jentera kren pihak bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, anggota bomba menurunkan mangsa menggunakan kaedah teknik sistem lowering.
“Wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan.
“Usia dan warganegara mangsa masih belum dikenal pasti, siasatan akan diteruskan oleh pihak polis,” katanya.-KOSMO! ONLINE.