MELAKA – Empat lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti mencuri kabel melarikan diri sejauh lebih 60 kilometer (km) sebelum melanggar lapan buah kenderaan selepas dikejar anggota polis di Jalan Parameswara, di sini minggu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, tiga suspek berusia 26, 28 dan 38 berjaya diberkas selepas trak pikap jenis Nissan Navara yang mereka naiki terbabas, manakala seorang lagi lolos dalam pergelutan di Kilometer 239.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota cawangan kereta peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Melaka Tengah menerima maklumat kes curi kabel pukul 5.30 pagi, 5 November lalu.
“MPV kemudian mengesan sebuah Nissan Navara dalam keadaan mencurigakan. Sebaik dihampiri kenderaan itu terus memecut laju ke arah Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Peringgit sehingga ke Lebuh Raya Utara-Selatan Pedas Linggi.
“Suspek kemudan melanggar dua buah kenderaan awam di Jalan Bukit Palah dan enam buah lagi kereta di lebuh raya sebelum terbabas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, semasa tangkapan dibuat, telah berlaku pergelutan menyebabkan seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui 148 batang kabel bernilai RM27,000 dan peralatan mencuri kabel.
“Semakan mendapati kesemua mereka mempunyai lebih 20 kes jenayah lampau kes samun, pecah rumah, curi dan dadah,” katanya.
Christopher berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah parang.
Polis masih meneruskan siasatan bagi memburu rakan sejenayah mereka yang masih bebas.