PETALING JAYA – Beramai-ramai berlari bagaikan acara maraton semata-mata mahu menyelamatkan kereta yang diletakkan di tepi jalan daripada disaman pihak berkuasa tempatan (PBT).
Itu antara situasi dihadapi oleh kakitangan sebuah syarikat di Shah Alam yang mana hampir setiap hari mereka terpaksa berlari mengalihkan kenderaan mereka sebaik terlihat kelibat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Bagaimanapun, ada ketika kakitangan tersebut berdepan peristiwa kelakar apabila mereka gigih berlari untuk mengalihkan kereta, namun sebenarnya tiada penguat kuasa MBSA di situ.
Menerusi video dikongsikan pengguna Threads Nena Misron, ia memaparkan kakitangan syarikat tersebut berlari dari pejabat untuk mengalihkan kenderaan, tetapi sebenarnya tiada pun kehadiran pihak PBT.
“Paling kelakar hari ni, lari untuk selamatkan kereta. Ingatkan MBSA datang, rupanya kena scam ye. MBSA tak ada datang pun. Siapa lah bagi salah info ni,” katanya pada hantaran itu.
Dalam pada itu, Nena menjelaskan, kakitangan syarikat tersebut tidak disediakan tempat letak kenderaan dan mereka perlu meletakkannya di kawasan berdekatan kedai selain stesen minyak.
“Tapi selalunya cepat penuh dan kitorang ‘blocking’ juga kat belakang tu. Kalau MBSA datang, kitorang akan ‘alert’ dan akan lari macam ni. Kitorang rela lari daripada kena bayar saman dan kereta kena tarik.
“Mahal kena bayar saman. Boss kitorang dah bangkitkan kepada pengurusan. Moga-moga ada lah parking untuk kitorang. Saya ‘upload’ hanya suka-suka saja, sebab bagi saya kelakar kami semua ni,” katanya.
Menjawab soalan netizen yang lain, wanita itu memberitahu, tempat letak kereta yang disediakan di situ adalah untuk pelanggan yang berurusan di syarikat tersebut.
“Parking untuk pelanggan, tak ada parking untuk staf,” katanya. – KOSMO! ONLINE