SAN SEBASTIAN – Pengendali Barcelona, Hansi Flick tidak berpuas hati dengan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana membatalkan jaringan Robert Lewandowski dalam kekalahan 0-1 kepada Real Sociedad pada aksi La Liga awal pagi semalam.
Lewandowski membuka tirai jaringan buat The Catalans pada sparuh masa pertama tetapi dibatalkan selepas VAR mengesan but bola penggempur Poland itu berada dalam keadaan ofsaid.
Bagaimanapun, VAR didakwa membuat kesilapan kerana gambar ofsaid itu adalah sebenarnya but bola pemain pertahanan Sociedad yang sedang mengawal Lewandowski ketika itu.
“Ia satu keputusan yang salah daripada VAR. Jelas sekali jaringan itu patut kekal tetapi apa kami boleh buat selain daripada menerima hakikat ini,” kata Flick.
Dalam masa sama, bekas pengendali Bayern Munich dah Jerman itu enggan menyalahkan barisan pemainnya biarpun rekod cemerlang mereka menang tujuh perlawanan berturut-turut akhirnya lebur.
“Kami tidak bermain baik di separuh masa pertama. Kami juga tidak menunjukkan kekuatan untuk menjaringkan gol dalam aksi ini.
“Saya beritahu pemain supaya menerima kekalahan ini dan bangkit dengan lebih bagus pada aksi seterusnya,” jelas Flick.
Barcelona tewas kepada Sociedad menerusi jaringan penyerang tuan rumah, Sheraldo Becker pada minit ke-33. – AGENSI