PEMAIN beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia teruja dengan gelaran yang dituai pada Kejohanan Badminton Korea Master kelmarin, sekali gus menandakan kebangkitan semula selepas kecederaan menimpa pasangannya, Soh Wooi Yik.
Aaron berkata, kejayaan merangkul gelaran pertama musim ini hadir pada masa yang tepat kerana selepas ini mereka akan berdepan dua kejohanan besar menjelang Kumamoto Masters di Jepun bermula 12 hingga 17 November dan China Masters (19-24 November).
“Kami rasa gembira dengan kejayaan ini terutama sekali selepas Wooi Yik pulih daripada kecederaan. Selepas Olimpik, kami bermain dua, tiga kejohanan dan setakat ini nampak baik.
“Kami akan terus berjuang untuk dua kejohanan terakhir tahun ini,” kata pemain kelahiran Melaka itu.
Kemenangan Aaron-Wooi Yik di Korea sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan lebih setahun dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada perlawanan akhir di Gimnasium Iksan, Korea Selatan kelmarin, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu membenam wakil tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho menerusi aksi rubber set 21-23, 21-19, 21-14.
Ia secara tidak langsung meredakan tekanan dirasai gandingan No. 6 dunia itu memandangkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen mencabar mereka supaya bangkit daripada prestasi hambar.
Kali terakhir bekas juara dunia itu meraih kejuaraan Jelajah Dunia adalah ketika mereka memenangi Terbuka Denmark di Odense pada Oktober tahun lalu.
Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$15,750 (RM69,014) berserta pingat, manakala Jin Yong-Won Ho berpuas hati dengan AS$7,980 (RM34,967) dan pingat di tempat kedua.