DOHA – Audi yang baru sahaja mengambil alih pasukan Sauber pada awal tahun ini dilaporkan bakal menerima suntikan modal besar dari Qatar selepas menghadapi cabaran kewangan akibat krisis ekonomi di Jerman.
Masalah kewangan tersebut turut menjejaskan syarikat induknya, Volkswagen AG serta perjalanan pasukan Formula Satu (F1) pada 2026 nanti.
Menurut laporan media antarabangsa, pelaburan dari Qatar mungkin lebih besar daripada yang dijangka dan dikatakan proses perjanjian tersebut berada di peringkat akhir dan bakal diumumkan menjelang Grand Prix (GP) Qatar minggu ini.
Terdahulu, Audi yang mengambil alih sepenuhnya pasukan Sauber dengan nilai anggaran €650 juta (RM3.064 bilion) menghadapi cabaran kewangan akibat krisis ekonomi, sekali gus mendorong mereka mencari jalan untuk mengurangkan kos dalam program F1.
Qatar yang kini memiliki 17 peratus saham dalam Volkswagen AG, adalah pelabur yang dikatakan bersedia menyelamatkan masa depan Audi dalam F1.
Qatar Investment Authority (QIA) dilaporkan bersedia melabur sehingga €1 bilion (RM4.71 bilion) sekiranya menepati segala syarat yang mana dana tersebut akan memacu pembangunan pasukan F1 tanpa menjejaskan kewangan Audi di Ingolstadt.
Walaupun tiada maklumat jelas mengenai struktur pelaburan, terdapat spekulasi bahawa Qatar mungkin mengambil pegangan minoriti atau majoriti dalam Sauber yang berpotensi membawa perubahan pada nama pasukan.
Bagaimanapun, Audi menafikan spekulasi mereka akan menjual saham Sauber kepada Qatar.
“Kami tidak terlibat dalam spekulasi. Pasukan ini tidak dijual,” kata jurucakap Audi.
Jika perjanjian ini berjaya, ia bakal meletakkan Qatar sebagai salah satu pelabur utama dalam pasukan F1 Audi, sambil terus mengukuhkan pengaruhnya dalam industri sukan permotoran global. – AGENSI