PUTRAJAYA – Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini susulan menjadi kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci seterusnya akan menjalani proses kuarantin kendiri di rumah seperti yang disarankan oleh kerajaan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, keputusan ujian Covid-19 akan dimaklumkan setelah diperoleh.
“Sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali,” katanya hari ini.
Pada masa sama, DOSM menasihatkan para media yang terlibat dengan Majlis Perjumpaan Pesuruhjaya Banci 2020 di jabatan itu pada 8 Januari lalu untuk mengambil langkah sewajarnya.
Terdahulu, Mustapa disahkan positif Covid-19 selepas mendapat ujian saringan malam semalam.
Kenyataan Pejabat Menteri melaporkan beliau menjalani ujian setelah tiba di Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Lumpur pagi, 9 Januari lalu.
“Beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada pukul 10.30 malam semalam untuk pemantauan dan keadaannya stabil,” katanya.- K! ONLINE