PUTRAJAYA – Peningkatan secara mendadak kes kematian akibat Covid-19 di negara ini selepas gelombang ketiga penularan pandemik itu disebabkan pelaporan kes harian jangkitan virus tersebut yang mencatatkan angka empat digit setiap hari.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian sebanyak 71 orang yang direkodkan dalam tempoh sembilan hari tahun ini berkaitan dengan pelaporan kes harian jangkitan itu yang membimbangkan.
“(Kes kematian tinggi) sebab kes harian juga semakin bertambah setiap hari,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangannya terhadap jumlah kematian akibat Covid-19 yang meningkat secara mendadak tahun ini.
Dalam ciapan di akaun Twitternya semalam, Dr. Noor Hisham membuat perbandingan kadar kematian akibat Covid-19 di antara tahun ini dengan tahun lalu.
Kata Dr. Noor Hisham, bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun 2020, kes kematian kurang daripada 100 orang, namun pada tahun ini, dalam tempoh sembilan hari sahaja, Malaysia mencatatkan sebanyak 71 kes kematian Covid-19.
“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini. Semoga Allah melindungi kita semua,” katanya dalam akaun Twitter.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham turut melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan sistem kesihatan yang dikhuatiri tidak dapat menampung pertambahan pesakit setiap hari.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ketika ini mencecah 27,000 kes sekali gus melebihi kapasiti maksimum Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan 23,000 kes positif virus berkenaan.
“Saya bimbang kemampuan kesihatan tidak dapat menampung jumlah pesakit setiap hari.
“Adalah menjadi kepentingan awam untuk melindungi golongan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik, wanita hamil dan kurang daya ketahanan badan,” katanya.
Sementara itu, pakar perubatan, Dr. Zubaidi Ahmad berkata, kadar kematian akibat Covid-19 dikhuatiri akan terus meningkat kerana kadar peratusan pesakit kronik dan penduduk berusia 60 tahun ke atas di Malaysia semakin meningkat.
Katanya, mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan pesakit kronik semakin membimbangkan terutamanya pesakit diabetes yang kini mencecah enam juta orang.
Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan peratusan penduduk berusia 60 tahun dan ke atas meningkat daripada 10.3 peratus pada tahun 2019 kepada 10.7 peratus pada tahun lalu.
“Dua golongan ini amat berbahaya jika mereka dijangkiti Covid-19. Data turut melaporkan kes kematian yang tinggi melibatkan dua golongan berisiko ini.
“Justeru, kebimbangan kami bahawa kes dikhuatiri akan meningkat memang berasas berdasarkan data serta laporan itu,” katanya ketika dihubungi.
Seorang lagi pakar perubatan, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkata, walaupun jumlah pesakit yang dirawat akibat Covid-19 mencecah 27,000 orang, namun doktor dan jururawat tetap memberi perkhidmatan terbaik.
Katanya, dakwaan sesetengah pihak yang kononnya doktor dan jururawat yang sudah kepenatan dan kurang ambil peduli dalam merawat pesakit Covid-19 adalah tidak berasas.
“Orang ramai tidak faham bagaimana barisan hadapan ini bekerja siang malam serta sanggup korbankan masa semata-mata bagi memastikan pandemik ini terkawal setiap hari,” ujarnya.
Dr. Ahmad Shukri berharap rakyat Malaysia terus mematuhi SOP ditetapkan sama ada ketika berada di tempat kerja, aktiviti sosial atau rumah sendiri bagi mengekang penularan Covid-19.