MINAT mendalam terhadap sukan memanah sejak di bangku sekolah membolehkan Nurul Syaza Husna Mahari, 21, mencapai pelbagai kejayaan dalam arena itu.
Meskipun fizikalnya kecil molek, namun mahasiswi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu memiliki sebab tersendiri memilih sukan memanah.
Dia yang dilahirkan di Panji Alam, Kuala Terengganu berkata, salah satu sebabnya adalah kerana memanah merupakan sukan sunah dan perlu terus dimartabatkan oleh generasi muda.
“Saya mula menceburi sukan ini semasa tingkatan 1 dan sejak itu saya sentiasa fokus serta berlatih untuk menyertai pelbagai kejohanan.
“Alhamdulillah, sehingga hari ini sudah banyak kejohanan yang saya sertai dan berjaya membawa pulang pingat,” katanya.
Tambah pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan itu, bergelar seorang mahasiswa serta atlet universiti dan negeri bukan satu tugas mudah.
Hal ini kerana, dia mesti bijak mengatur dan membahagikan masa antara pelajaran dengan sukan.
“Saya akan pastikan diri melakukan latihan sekurang-kurangnya dua jam sehari selepas selesai segala tugasan dan kuliah.
“Secara jujur, ia agak memenatkan tetapi dengan disiplin yang diterapkan sejak sekolah menengah, ia menjadi satu rutin harian yang baik dan sihat,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang programmer (pengatur cara) usai tamat pengajian nanti.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/11/508f70f5-41e4-405d-b07c-914258103975ddd.jpg)
Berkongsi kejayaan yang diperoleh dalam sukan memanah, dia yang mesra disapa Syaza telah meraih dua pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak 2024 dengan mewakili Terengganu.
Dia juga pernah memenangi satu pingat perak dan satu pingat gangsa pada Sukan Institut Pengajian Tinggi, selain satu pingat emas di Kejohanan Terbuka Angkatan Tentera Malaysia.
“Saya gembira dan bangga kerana dapat menewaskan atlet negara pada Kejohanan Memanah Kebangsaan baru-baru ini dalam acara compound wanita.
“Dalam sukan memanah, saya menjadikan bekas pemanah Olimpik negara, Syafiqah Hashim sebagai idola untuk terus bersemangat serta meraih pelbagai kejayaan,” katanya.
Mengenai perancangan masa hadapan lebih-lebih lagi selepas kejayaannya di Sukma, anak ketiga daripada lima beradik itu berhasrat untuk terus aktif memanah sambil memberi tumpuan kepada pengajian.
Akuinya, pendidikan penting kerana dia percaya ilmu yang dipelajari dapat membantu meraih kerjaya yang baik pada masa depan, sekali gus menjana hasil kewangan untuk meneruskan hobi dalam sukan memanah.
“Sementara masih dalam pengajian, rancangan saya adalah untuk meneruskan karier sebagai seorang atlet dan ingin merebut peluang untuk pergi lebih jauh.
“Saya berharap dapat mencapai keseimbangan antara kerjaya dan bidang sukan.
“Saya juga ingin mengembangkan diri sehingga mencapai kepuasan dalam sukan memanah,” katanya mengakhiri bicara.