ABU DHABI – Pemain di ranking 292 dunia, Anastasia Gasanova melakukan kejutan pada Terbuka Abu Dhabi kelmarin selepas menumbangkan bekas pemain No.1 dunia, Karolina Pliskova dengan kemenangan straight-set 6-2, 6-4.
Pemain peringkat kelayakan dari Rusia itu mengakui tidak menyangka mampu menewaskan jaguh tenis berpengalaman tersebut dan gembira kerana berjaya menampilkan corak permainan yang kemas dan cukup baik.
“Saya rasa pada perlawanan itu, bukanlah diri saya yang beraksi dan akui sangat terkejut dengan kemenangan ini. Saya sangat gembira kerana berjaya melepasi perlawanan ini dengan cukup baik.
“Saya benar-benar terkejut tetapi ketika saya bangun dari tidur sebelum perlawanan itu, saya terfikir kenapa saya tidak boleh memenangi perlawanan ini.
“Pada mulanya, saya fikir akan kalah dalam peringkat kelayakan, namun saya tidak putus asa dan berjaya melepasinya,” katanya sejurus meraih kemenangan tersebut.
Gasanova mahu memperbaiki ranking dirinya dan menyasarkan mampu berada dalam kelompok 200 terbaik.
“Saya mempunyai misi tersendiri pada musim 2021 kerana saya mahu meraih banyak kemenangan dan berada dalam kelompok 200 terbaik. Saya tidak pasti mampu melakukannya tetapi dengan kejayaan ini saya yakin dapat melepasinya
“Di Terbuka Abu Dhabi adalah peluang terbaik saya untuk menguji kemampuan berwsaing dengan pemain yang lebih berpengalaman,” tambahnya.
Sementara itu, Elina Svitolina membuka permainan dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan seterusnya selepas mudah menewaskan Vera Zvonareva dengan kemenangan 6-4, 6-1. – AGENSI