KOTA BHARU – Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan menafikan sekeras-kerasnya pemilik akaun TikTok bernama Carrey Farjerry sebagai ahli kerabat dan tiada sebarang kaitan dengan Istana Kelantan.
Ahli Jawatankuasanya, Tunku Mohammed Nazarin Tunku Yusoff berkata, terdapat komen oleh beberapa pengikut lelaki itu di bawah satu hantaran yang mengaitkannya yang juga ahli perniagaan itu dengan keluarga diraja Kelantan.
Menurutnya, Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan bimbang ia akan mendatangkan kesan kepada imej kerabat.
“Perlu dijelaskan bahawa Carrey Farjerry sendiri tidak mendakwa dirinya kerabat diraja Kelantan, tetapi beberapa pengikutnya mengatakan dia adalah kerabat diraja iaitu sepupu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan anak saudara Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.
“Bagaimanapun, Carrey Farjerry tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menafikan perkara itu. Jadi, hari ini kami membuat laporan polis untuk menyatakan dia bukan ahli Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan dan tiada sebarang kaitan dengan Istana Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Tunku Mohammed Nazarin memberitahu, Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan merupakan sebuah pertubuhan yang aktif dan telah membuat semakan keahliannya apabila menyedari kemunculan komen-komen berkenaan pada hantaran-hantaran di akaun tiktok tersebut.
“Kami tidak kisah dengan usahanya untuk membantu enam individu yang ditangkap di Golok, Thailand berkaitan kes dadah itu, tetapi tidak mahu pertubuhan dan Istana Kelantan terkait kes tersebut. Dia mahu bantu, bantulah, tetapi jangan kaitkan dengan kerabat dan istana Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE