ARAU – Kesibukan menguruskan kedai gunting rambut bukan penghalang buat Dr. Mohammad Syahrin Smail untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke-19, di sini hari ini.
Menurut Mohammad Syahrin, 33, dia gembira dan bersyukur kerana berjaya memperoleh PhD dalam Kejuruteraan Bahan meskipun berdepan banyak cabaran termasuk kekangan masa serta kewangan.
“Alhamdulillah berkat kesabaran, sokongan dan doa ibu bapa, isteri serta ahli keluarga saya berjaya naik ke pentas konvokesyen hari ini untuk menerima PhD,” katanya di sini hari ini.
Kata pemilik Gunting Rambut Orang (GRO) Barbershop itu, bukan mudah untuk dia mengecapi kejayaan tersebut kerana perlu membahagikan masa antara keluarga, perniagaan dan pengajian.
“Selain beri tumpuan kepada keluarga, saya juga turun menggunting rambut pelanggan di samping menguruskan 24 pekerja di empat cawangan GRO di Perlis.
“Sebelah pagi dan petang saya uruskan kedai gunting, malam pula saya siapkan tesis bertajuk Preparation and Characterization on Natural Rubber Latex Foam Using Green Sodium Bicarbonate. Kalau nak kata penat itu memang ada tetapi saya kuatkan hati untuk hadapi semua itu,” ujarnya.
Menurutnya, segala kepayahan berbalas apabila dia merasai kemanisan naik ke atas pentas konvokesyen untuk menerima PhD tersebut.
Tambahnya, dia merancang untuk memajukan lagi perniagaan GRO Barbershop dengan menubuhkan pusat latihan kemahiran gunting rambut.
“Saya mahu tawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang menggunting rambut. Mungkin ini adalah salah satu cara untuk bantu orang muda tambah kemahiran dan pensijilan SKM seterusnya memperoleh diploma kemahiran serta pendapatan dengan bekerja sebagai tukang gunting,” katanya.
Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-19 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini bakal menyaksikan seramai 3,298 graduan menerima ijazah masing-masing.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berkenan menyampaikan ijazah kepada graduan pada istiadat konvokesyen hari ini. – KOSMO! ONLINE