CYBERJAYA – Program Pasport Keselamatan Kurier menjadi antara inisiatif penting bagi mempromosikan budaya keselamatan penghantaran dalam industri kurier di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pasport keselamatan kurier itu diharap mampu melindungi pekerja dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kurier.
Beliau berkata, ia juga satu usaha baik bagi memastikan pengendalian barang yang selamat dan melindungi keselamatan pekerja dalam industri itu.
“Selepas ini, para pelanggan akan dapat membuat pilihan lebih bijak yang kita jangka akan membantu sektor kurier membuat kawalan kendiri terutama untuk menjamin keselamatan pekerja mereka.
“Ini satu usaha yang cukup kita sambut dengan baik dan harap lebih banyak syarikat kurier akan terlibat dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Kurier Negara 2024, di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Forum Pos/Persatuan Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dengan kerjasama MIROS dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi melaksanakan program itu. – KOSMO! ONLINE