PETALING JAYA – Kumpulan Pertama Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 melibatkan enam pegawai dan 200 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selamat tiba di tanah air, hari ini.
Kumpulan pertama yang diketuai oleh Ketua Pergerakan, Komander Errudin Bujang itu tiba dengan menaiki sebuah pesawat komersil yang mendarat di Pangkalan Udara Subang.
Mereka disambut oleh Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong.
Beliau berkata, penugasan misi kali ini dilihat mencabar ekoran konflik yang memberi kesan kepada keselamatan di Selatan Lebanon dan menjejaskan pengoperasian kontinjen Malbatt 850-11.
“Ia juga pengalaman berharga buat semua dan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga ATM termasuk rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan kedaulatan selain kepentingan negara agar keamanan serta kemakmuran terus terpelihara.
“Selamat pulang perwira-perwira negara!,” katanya menerusi satu kenyataan oleh Kementerian Pertahanan, di Facebook hari ini. – KOSMO! ONLINE